~ME~

~ME~
alone..

Sunday 29 January 2012

karangan SPM!!

hai semua lama xupdate ni!! walau pown xramai follower xpa hati senang hahasaya nak kongsi sikit tentang contoh karangan BAHASA MELAYU ni for SPM ni khas tuk adik2 yg duk cari karangan xjumpa!!

karangan ni semua akak cari untuk adk2!! harap dapat manfaatkan!!

PELABURAN ASING ( faktor)


      Pelabur asing merupakan golongan yang penting dalam pembangunan sesebuah negara terutamanya bagi negara yang sedang membangun seperti negara kita. Hal ini amat penting untuk dititikberatkan kerana pelabur asing merupakan pihak yang boleh menjadi batu loncatan untuk negara kita mencapai kemajuan seiring dengan negara maju yang lain. Pihak yang bertanggungjawab di negara ini haruslah aktif memainkan peranan, contohnya bertemu dengan pelabur asing bagi memberikan penerangan yang berkaitan dengan hal ini. Dengan cara itu, sudah tentu pelabur-pelabur asing akan tertarik untuk melabur di negara ini iaitu apabila mereka yakin akan mendapat pulangan yang sewajarnya hasil daripada penerangan tersebut. Oleh hal yang demikian, pelabur asing memang dialu-alukan untuk melabur di negara kita ini.

      Faktor yang boleh mendorong pelabur asing yag lebih banyak melabur di negara kita ialah faktor kestabilan politik. Sudah tentu pelabur tidak akan teragak-agak, malah mereka lebih berminat untuk melibatkan diri dalam hal ini sekiranya keadaan politik negara kita stabil. Kita perlulah mempertahankan dan mengekalkan kestabilan politik yang sudah lama wujud di negara kita. Tambahan pula, pada zaman sekarang, tidak banyak negara yang stabil dari segi politik yang menyebabkan pelabur akan berfikir dua kali untuk membuat pelaburan di sesebuah negara. Dengan kelebihan yang kita miliki itu, kita harus memanfaatkannya dengan sebaik-baik yang mungkin kerana peluang baik seperti itu mungkin tidak akan datang bergolek pada masa akan datang.

      Dengan adanya tenaga kerja yang banyak, perkara ini boleh membantu negara untuk meningkatkan pelaburan asing. Perkara ini dapat dilihat apabila sesebuah negara itu mempunyai banyak pekerja untuk melakukan sebarang pekerjaan di samping upah kerjanya yang murah. Oleh itu, pelabur asing akan tertarik untuk melabur di negara kita dan seterusnya mereka akan mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih banyak di negara ini. Secara tidak langsung, negara kita akan dapat banyak manfaat dalam satu masa seperti kata pepatah, “sambil menyelam minum air”. Oleh itu, masalah pengangguran akan dapat dikurangkan dan secara tidak langsung pelaburan itu akan meningkatkan taraf hidup masyarakat Malaysia.

      Pelabur asing yang datang ke negara kita ingin akan layanan yang baik dari negara kita, termasuklah kemudahan infrastruktur. Kemudahan-kemudahan seperti sistem jalan raya, pelabuhan, lapangan terbang dan jaringan komunikasi merupakan prasyarat dan perkara yang sangat penting untuk membawa produk mereka ke luar negara untuk dipasarkan di pasaran antarabangsa. Oleh sebab itu, pihak kerajaan harulah menyediakan kemudahan yang lengkap untuk menarik pelabur asing yang lebih banyak supaya masuk ke negara ini. Layanan yang baik ini akan memberikan keselesaan kepada mereka sepanjang berada di negara ini dan membawa rakan-rakan pelabur asing yang lain melabur di negara ini.

      Faktor birokrasi juga turut memainkan peranan penting bagi menentukan kemasukan pelaburan asing. Hal ini demikian kerana, jika faktor birokrasi sesebuah negara itu tidak terlalu ketat, sudah pasti pelabur asing akan tertarik untuk melabur di sesebuah negara itu. Birokrasi seperti urusan pentadbiran yang merumitkan pelabur, contohnya sesuatu permohonan yang memerlukan masa yang lama untuk diluluskan akan menyusahkan para pelabur asing dan akan menyebabkan mereka menarik pelaburan ke negara lain. Secara tiidak langsung, perkara ini akan memberikan impak terhadap negara ini. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa, “kerana nila setitk, rosak susu sebelanga”. Oleh itu, pihak berkuasa haruslah memastikan urusan pentadbiran di negara ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang kesulitan yang akan memudaratkan negara.







      Kegiatan pelaburan asing sering sahaja dikaitkan dengan aspek kestabilan ekonomi sesebuah negara. Dengan cara itu, faktor ekonomi sesebuah negara juga tidak terkecuali daripada pertimbangan para pelabur sebelum melabur di sesebuah negara itu. Sudah tentu para pelabur akan mencari negara yang mempunyai ekonomi yang stabil bagi meluaskan perniagaan mereka untuk mendapat pulangan yang menguntungkan mereka. Jika sesebuah negara itu mundur dan kekurangan modal, tidak mungkin para pelabur akan berminat untuk melabur di sesebuah negara itu kerana hal ini tidak akan memberikan keuntungan kepada mereka. Oleh itu, sesebuah negara itu pula akan menjadi semakin mundur dan tidak akan mendapat keuntungan dari luar negara. Dengan kata lain, faktor ekonomi merupakan faktor yang sangat penting untuk memajukan sesebuah negara. Untuk menarik pelabur asing, sesebuah negara itu haruslah berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

      Oleh hal yang demikian, pelaburan asing memang penting untuk menjana kemajuan bagi sesebuah negara. Usaha-usaha yang berkesan haruslah ditingkatkan untuk menarik pelabur asing di negara kita. Sekiranya pelabur asing kurang membuat pelaburan di sesebuah negara, sudah pasti ekonomi bagi sesebuah negara itu sukar untuk berkembang dengan pesat. Hal ini demikian kerana, negara-negara tersebut kekurangan modal untuk membangunkan negara mereka. Oleh itu, pihak yang bertanggungjawab dalam bidang pelaburan ini hendak mencari jalan untuk menarik pelabur dan menyediakan peluang yang lebih banyak kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.



Kelebihan pengangkutan awam…

Dunia sentiasa mengalami inovasi dalam sistem pengangkutan dari semasa ke semasa. Dalam era globalisasi kini, pelbagai jenis kenderaan yang moden telah dicipta bagi menggantikan kenderaan yang konvensional. Pada masa kini, terdapat pelbagai jenis kenderaan awam seperti monorel, ERL, komuter, bas, teksi, kapal terbang dan sebagainya. Pengangkutan awam yang moden itu pula mampu untuk memainkan peranan yang penting kepada sesebuah negara untuk menuju ke arah kemajuan. Dengan perkataan lain, pengangkutan awam yang terdapat di negara kita juga tidak kurang pentingnya kerana terdapat pelbagai kelebihan yang akan diperoleh apabila masyarakat menggunakannya.

Kelebihan utama pengangkutan awam adalah dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di ibu kota atau bandar-bandar besar yang lain. Hal ini demikian kerana, kebanyakan rakyat Malaysia gemar menggunakan kenderaan sendiri terutamanya ketika ingin menuju ke tempat kerja. Di samping itu, mereka kebiasaannya bersikap bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing ketika berada di jalan raya. Perkara ini akhirnya mengakibatkan kesesakan jalan raya yang serius. Oleh hal yang demikian, pengangkutan awam seperti komuter, monorel, ERL (Express Rail Link), LRT (Light Rail Transit)) dan sebagainya dapat memainkan peranan yang penting untuk membendung masalah kesesakan jalan raya yang semakin kronik di ibu negara kita.



Penggunaan pengangkutan awam juga dapat menjimatkan masa dan kos perjalanan. Sebagai contohnya, ERL dapat memendekkan masa perjalanan jika dibandingkan dengan penggunaan kereta. Tambang pengangkutan awam seperti komuter dan LRT juga amat berpatutan berbanding dengan masa perjalanannya yang telah disingkatkan. Oleh itu, jika dibandingkan antara pengangkutan awam dengan kenderaan biasa, masyarakat akan mendapat manfaat sekiranya menggunakan pengangkutan awam. Harga petrol yang tidak menentu di pasaran global telah memberi impak yang negatif kepada rakyat yang menggunakan kenderaan peribadi. Oleh hal yang demikian, banyak perbelanjaan boleh dijimatkan sekiranya orang ramai menggunakan pengangkutan awam.

Selain itu, pengangkutan awam juga akan memudahkan perjalanan seseorang. Dengan adanya pengangkutan awam seperti ERL dan LRT, sistem pengangkutan yang lebih efisien berbanding dengan kenderaan persendirian dapat diwujudkan tambahan pula banyak tempat di ibu kota yang termasuk dalam jaringan pengangkutan awam tersebut. Perkara ini sekali gus dapat meningkatkan kadar ketepatan atau kepantasan seseorang ke sesuatu destinasi. Perkara ini seharusnya diberikan pertimbangan oleh anggota masyarakat agar menggunakan kenderaan awam untuk ke sesuatu destinasi. Oleh itu, kenderaan awam sepatutnya menjadi pilihan utama masyarakat kerana kelebihannya banyak sekali.

Penggunaan pengangkutan awam yang lebih mesra alam pula akan dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar. Pengangkutan awam seperti monorel, LRT dan ERL ialah kenderaan awam yang mesra alam kerana tidak mengeluarkan asap. Hal ini secara langsung dapat membendung pencemaran alam sekitar terutamanya pencemaran udara di negara kita. Perkara yang di sebaliknya pula akan berlaku jika seseorang menggunakan kenderaan persendirian mereka seperti kereta atau motosikal yang terbukti menyebabkan pencemaran alam sekitar. Jadi, pihak berkuasa perlulah mengambil langkah yang sewajarnya bagi menghalang pencemaran udara yang semakin serius pada masa ini, seperti kata pepatah, “Sediakan payung sebelum hujan”.

Intihanya, pengangkutan awam mempunyai kelebihan yang lebih banyak jika hendak dibandingkan dengan penggunaan kenderaan persendirian. Oleh itu, anggota masyarakat digalakkan untuk menggunakan pengangkutan awam jika hendak pergi ke tempat kerja. Sekiranya langkah ini tidak diikuti sudah tentu banyak masalah yang terpaksa dihadapi oleh anggota masyarakat akibat pencemaran alam yang berpunca daripada asap kereta dan motosikal. Jadi, kita perlulah menyokong langkah kerajaan yang menggalakkan penggunaan pengangkutan awam melalui kempen ‘kongsi kereta’ untuk ke tempat kerja. Sekiranya kempen ini mendapat sokongan daripada masyarakat, sudah tentu masalah pencemaran udara dapat diatasi, di samping dapat menjimatkan perbelanjaan anggota masyarakat.


No comments:

Post a Comment